Friday, November 7, 2008

Perihal 'serigala lapar' yang berebut rezeki dalam Umno

'JANGAN cakap saja, bawa bukti', kata Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ekoran kenyataan beberapa calon yang mahu bertanding pelbagai jawatan tertinggi parti, kononnya mereka disekat, dihalang dan disabotaj oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Terbaru, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa, menjelang minggu terakhir mesyuarat bahagian-bahagian Umno, ada pihak-pihak tertentu berusaha menyekat pencalonan dibuat terhadapnya bagi mencukupkan quota, melayakkannya bertanding.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail mendakwa, aduan sudah diterimanya terhadap calon-calon yang bertanding menggunakan wang sebagai umpan mendapatkan pencalonan termasuk yang menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden.
Apa yang menarik, jika ada calon-calon yang 'terperangkap' dengan politik wang dan kesalahan menyekat pencalonan dibuat terhadap calon selain dari dirinya, maka kemungkinan hanya seorang sahaja calon yang layak bertanding kerusi Timbalan Presiden, menjadikan dia menang tanpa bertanding!

Lebih mengejutkan, Lembaga Disiplin turut menyebut, calon-calon Naib Presiden, juga turut diadukan kepadanya terlibat menggunakan wang yang banyak untuk mencari pencalonan.
Tentulah, aduan itu 'berasas' kerana jika tidak, mustahil Tengku Ahmad Ritahauddeen mahu mengeluarkan kenyataan itu, sebelum ianya dipastikan berasas.

Ramai di luar, sedang menanti dengan penuh minat, siapakah di kalangan calon-calon Timbalan Presiden kali ini yang bakal 'dihalang' oleh Lembaga Disiplin Umno dari bertanding kerana, setiap ahli yang dikenakan tindakan hilang kelayakkan dipilih dan memilih.
Tentulah, mereka yang sudah menerima habuan, terasa mudah untuk 'tidak perlu terikat' dengan sesiapa, kerana 'orang yang menghulurkan wang kepada mereka' sudah dikenakan tindakan.

Jika tidak, penerima wang dan habuan termasuk gelaran Dato' yang lazimnya 'banyak' apabila tiba musim pemilihan parti, mestilah 'tahu membalas budi'.
Sebenarnya, kisah sekat-menyekat ini sudah lama berlaku. Bukan sahaja di di kalangan calon-calon Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden, tetapi turut berlaku di bahagian-bahagian, yang selama ini, tiada siapa mengambil peduli mengenainya.
Itulah sebabnya, Umno semakin hari semakin mengecil, hilang sokongan dan kalah dalam pilihan raya.

Kalau ada orang mengadu dengan Muhammad, telah berlaku sekat-menyekat di bahagian-bahagian tertentu, sebagai anggota Jawatankuasa Pengurusan Umno (atas kedudukannya sebagai Ketua Penerangan), apakah beliau akan bertindak untuk menyiasat atau memanjangkan aduan itu kepada Ibu Pejabat Umno?

Masalah dalam Umno ialah, budaya pentingkan diri sendiri, mengatasi kepentingan umum. Mereka yang berjawatan tinggi, hanya hendak berhubung dengan penyandang jawatan Ketua Bahagian tanpa memperdulikan mereka yang tidak berjawatan.
Apabila mereka yang tidak berjawatan dapat menewaskan penyandang, aduan penyandang pula tidak diperdulikan kerana peyandang sudah tewas.

Inilah yang berlaku, kecuali dalam kes Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, seperti ada 'segerombolan serigala mengejar seekor biri-biri' hingga 'hancur Mohd Isa' mereka kerjakan.
Hari ini, segerombolan serigala itu sudah berpecah-belah. Masing-masing mahu menguasai puncak bukit yang masih ada saki baki rezeki yang perlu direbut untuk kroni dan saudara mara mereka.

Ini yang menyebabkan serigala-serigala ini 'bergaduh' sesama sendiri, termasuklah cerita kononnya Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak mendapat pencalonan disebabkan tidak menyogok wang.

Sepatutnya, Lembaga Disiplin tidak bergerak seperti 'orang atas kerusi roda' yang memerlukan orang lain membantu menolaknya untuk bergerak, sebaliknya bertindak pro aktif dengan menyeret mereka yang membuat kenyataan tanpa bukti ke lembaga itu, untuk disiasat, mengapa mereka membuat tuduhan sesuka hati, tanpa membawa bukti ke Ibu Pejabat parti!
Antara yang berulang-ulang bercakap isu yang sama ialah seorang calon Naib Presiden, Dato' Seri Dr Rais Yatim yang terlalu sukar untuk mendapat pencalonan walaupun, dia digambarkan sebagai pakar perlembagaan negara.

Sebelum ini, tulisan-tulisannya termasuk yang menyentuh tentang musang berbulu ayam dan akan gugur seperti nangka busuk, gagal menarik minat bahagian-bahagian supaya mencalonkannya sebagai salah seorang Naib Presiden.

Dalam kes Dato' Seri Azalina Othman, tafsiran 'pelan peralihan kuasa' dalam Pergerakan Wanita Umno, boleh ditafsirkan sebagai 'usaha menyekat' orang lain (termasuk orang luar dari kalangan Pergerakan itu) dari menyertai Wanita Umno.

Tidak hairanlah, kalau Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dato' Kamalia Ibrahim beregu untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan naib, Tan Sri Rafidah Aziz dijangka tidak ada masalah untuk 'membuka laluan' tetapi jika Azalina 'mendapat pencalonan mencukupi untuk kerusi Naib Ketua Pergerakan Wanita, Rafidah dijangka tidak akan 'membenarkan' Azalina menjadi calon naib walaupun menentang Shahrizat atau Kamalia.

Azalina sebagai seorang Menteri mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan Shahrizat dan Kamalia yang bukan dari kalangan YB.
Tugas Muhammad sekarang, jika mendapat cukup atau tidak pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, haruslah membawa bukti ke Ibu Pejabat Umno, supaya tindakan mengikut saluran seperti yang dikatakan Tengku Adnan boleh diambil.

Jika tidak, Lembaga Disiplin seharusnya menjalankan siasatan dan menyeret Muhammad ke Lembaga Disiplin bersama Rais Yatim yang bercakap isu yang sama - jika dibiarkan akan menyebabkan keyakinan ahli terhadap parti, merosot.

Ihsan dari Harakah

1 comment: