Friday, January 16, 2009

Pengundi Kuala Terengganu diugut

Abdul Aziz Mustafa
Fri | Jan 16, 09 | 6:55:21 pm MYT



Adakah kemenangan dengan apa jua harga dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Tun Razak termasuk mengugut para pengundi?

Perkara itu menjadi persoalan apabila semakin banyak ugutan demi ugutan dilaporkan.

"Najib kata at all cost (apa juga harganya) Barisan Nasional (BN) mesti menang, jadi saya nak tengok apa maksud perkataan itu. Insy Allah, kita (PAS) sedang mengikuti (dan) memantau," Buletin Online memetik Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustapha Ali berkata.

Semalam, The Nut Graph melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengingatkan para pengundi supaya memastikan mereka mengundi BN.

Jika tidak, katanya, kerajaan negeri akan membawa dana untuk tempat mereka "ke Kemaman".

"Jika BN kalah di pusat pengundian Pulau Kambing, Bandaran, Kampung Cina ... saya akan tahu awak menolak kami," katanya.

Hari ini, Buletin Online melaporkan, pemimpin Umno dan BN yang semakin terdesak bertindak mengugut pegawai dan kakitangan kerajaan di peringkat bawahan.

Mustapha mendedahkan, di samping menjamu makan kepada pegawai dan kakitangan tersebut, "mereka bagi tahu undi tidak sulit, kita tahu apa yang kamu undi".

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin BN itu bertentangan prinsip demokrasi dan bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh SPR.

Katanya beliau akan meminta pihak SPR untuk membuat kenyataan terbuka bahawa undi adalah sulit, bukan sebagaimana yang dikatakan pemimpin Umno.

Akibat ugutan-ugutan tersebut, kebanyakan pengundi hanya berani menyatakan sokongan dengan membuat panggilan telefon atau menghantar SMS khususnya kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

"Saya tau rakyat takut tapi senyap-senyap dia telefon saya, senyap-senyap hantar sms (kepada) saya, hantar mesej, saya terima surat-surat pun ada, macam mana dia orang (mereka ) kena tekan, pegawai-pegawai, ketua jabatan pun semua tekan dia, mana boleh!?"

"Saya harap semua rakyat matang berpolitik, macam mana dia (pegawai dan jentera BN) tekan pun, jangan ikut tekanan kerana itu bukan cara dia (sebenarnya). Jadi, pilih (undi) dengan baiklah," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha terus mempersoalkan operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Semalam (14 Januari) saya bagi tahu bahawa JPN operasinya sampai waktu malam, yang ada akses hanya SPR, apa dia nak buat?

"Dia (SPR) ada jawab sikit tetapi tidak menjawab sepenuhnya," katanya.

Calon BN ditolak di saat akhir

Abdul Aziz Mustafa
Sat | Jan 17, 09 | 12:01:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh) - Trend pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) dipercayai telah berubah ekoran terlalu banyak laporan negatif terhadap calon parti itu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Saya bimbang laporan tersebut menyebabkan ada pengundi yang selama ini mengundi BN berpaling tadah mengundi calon PAS," Malaysiakini memetik seorang penduduk Kampung Nibong di Kuala Terengganu, Baharum Abdul Kadir.

Keadaan serba gelabah BN jelas kelihatan apabila jentera kerajaan digunakan untuk merasuahkan para wartawan.

Akibat dari tindakan keji itu, wartawan Merdeka Review telah membuat laporan polis mengenai perakara itu di ibupejabat polis Kuala Terengganu jam 6.30 petang semalam.

Menurut Malaysiakini, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu.

Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.

Empat wartawan Malaysiakini turut menulis butiran diri mereka di kertas tersebut tanpa menyedari bahawa mereka akan diberi wang tersebut.

Bagaimanapun, kesemua mereka terus memulangkan wang tersebut kepada kakitangan pusat media tadi.

Kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan apabila disoal dari siapa datangnya tersebut.

Di sebuah hotel di Kuala Terengganu, satu kekecohan kecil berlaku ekoran tersebar khabar yang mengatakan sebuah parti politik sedang mengedarkan wang tunai kepada pengundi.

Apabila Malaysiakini tiba di dewan bankuet hotel tersebut pada jam 5.30 petang, sekumpulan orang kelihatan sedang menulis nama dan nombor kad pengenalan mereka pada sekeping kertas.

Kira-kira 100 orang yang berada di dewan tersebut kelihatan tidak selesa dengan kehadiran para wartawan yang turut mengambil gambar, lalu menggesa yang lainnya berhenti menulis butiran diri mereka.

"Mengapa kamu masih tulis. Semua pegawai telah beredar," kata seorang wanita yang sudah berusia.

Apabila semakin ramai wartawan tiba di situ, seorang lelaki yang tidak dikenali terus mengambil 10 keping kertas yang mengandungi butiran diri orang ramai dan beredar dari situ.

"Saya akan tanya bos saya sama ada masih ada lagi wang untuk kita," kata lelaki tesebut lalu beredar, diikuti oleh yang lain-lainnya.

Kebanyakan mereka sudah berusia itu berkata, mereka datang ke situ untuk menghadiri satu jamuan pada jam 4 petang yang turut mempunyai ucapan politik.

Tidak seperti majlis politik yang lain, tidak kelihatan sebarang logo atau kain rentang parti yang dipasang di situ. Terdapat dakwaan yang bercanggah mengenai siapakah penganjurnya.

Antara mereka yang dikatakan berucap di majlis tersebut ialah seorang bekas menteri besar dari sebuah negeri di pantai barat Semenanjung.

Ketika wartawan tiba, keadaan menjadi kecoh dengan ramai yang bercakap dengan kuat bahawa mereka telah ditipu dan tiada wang yang diedarkan.

Sesetengahnya turut mendakwa yang mereka yang datang lebih awal, telah memperolehi wang tersebut.

Friday, January 2, 2009

Pejuang bahasa Melayu demo ala Bersih

Jimadie Shah Othman Jan 2, 09 3:19pm

Pejuang-pejuang bahasa Melayu, yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bercadang menganjurkan perhimpunan besar seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007.

Demonstrasi besar itu, yang digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Keputusan mengadakannya dicapai dalam mesyuarat sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang di Kuala Lumpur akhir bulan lalu, kata ketua pengarah jawatankuasa pelaksana kempen tersebut Hasni Abas dalam satu kenyataan hari ini.

Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata memorandum kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

"Orang mungkin lupa, (dan) menganggap kerajaan (BN) dan Umno sebagai ketua negara. Sebenarnya Yang di-Pertuan Agonglah ketua negara," katanya.

Hasni berkata, 100,000 rakyat dan pejuang bahasa dijadual berarak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke istana, kira-kira satu kilometer.

"Kita harap (perhimpunan ini) dapat menjadi lontaran pertama (kepada kerajaan)," tambah Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja DBP.

Menurutnya lagi, perhimpunan itu dijangka diadakan Mac depan atau selewat-lewatnya Mei.

Jika tiada masalah, katanya, perhimpunan itu akan dibuat sebelum satu lagi perhimpunan gergasi bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual Mac.

"Orang Melayu ini semangat mereka (berkobar-kobar) enam bulan sahaja. Kalau lama-lama sangat, takut lupa," katanya, berseloroh.

Selain Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, NGO dan parti politik yang terlibat termasuklah Dewan Pemuda PAS, Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Gabungan itu, yang turut menghimpunkan tokoh-tokoh pencinta bahasa kebangsaan, menggelarkan kumpulan mereka Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.

Hasni berkata, bekas ketua pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad bakal menerajui badan induk sekretariat itu.

Urusetia itu juga, tambahnya, menganjurkan perjumpaan lanjutan dengan semua NGO dan parti politik, termasuk BN, yang memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik pada hujung bulan ini.

Bersih - gabungan 71 NGO dan parti pembangkang utama - berjaya menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong mereka berarak ke Istana Negara (foto kanan) pada 10 November dua tahun lalu bagi mengemukakan empat tuntutan, antaranya menghapuskan undi pos dan memperkenalkan dasar dakwat tidak mudah padam di jari pengundi.